Sunday, February 24, 2013

Nasihat 12 : Jangan Sangka Semua Manusia Seperti Kamu

Bekerja sepeti sotong, tangan-tangannya banyak! Serentak buat beberapa tugasan. Kepala fikir lain, tangan buat lain, sambil buat lain dan sedang buat lain. Bak kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Semasa bekerja juga selalunya mahu lekas siap dan perlu hampir sempurna. Cepat! Pantas! Pantas!

Pada suatu hari, saya ditegur oleh seorang pembantu, "Bukankah yang ini, kamu suruh saya yang siapkan, tetapi kemudian kamu pula yang buat,"
Saya menjawab, "Sebab saya tunggu lambat sangat, jadi saya buat." Sejujurnya beliau tidaklah terlalu lambat jika diukur menggunakan zon waktu manusia biasa, tetapi bagi saya yang sudah terbiasa semua hendak cepat, ianya adalah lambat!

Pada masa itu saya tersedar sesuatu, astagfirullah. Nampaknya saya sudah memecut terlalu laju meninggalkan pembantu yang sepatutnya membantu saya. Saya tidak boleh berbuat begitu kerana saya perlu biarkan pembantu saya belajar untuk menjalankan fungsinya dengan baik. Serta merta saya menekan pedal brek untuk memperlahankan gerak kerja saya... Jika saya berdegil mahu buat semua kerja sendiri, akhirnya nanti saya juga yang akan terbenam dalam kerja-kerja yang bertimbun.

Sepanjang perjalanan hidup ini, saya kira tidak ramai manusia yang boleh berfungsi seperti sotong, buat pelbagai tugasan serentak pada satu-satu masa. Mereka ini sangat produktif dan jumlahnya kecil. Selalunya orang sekeliling yang tidak mampu mengejar kelajuan mereka yang seperti lipas kudung ini akan berasa sangat 'stress' berada di sisi mereka. Jika di jabatan swasta, kebanyakkan ketua-ketua adalah jenis yang begini, si lipas kudung. Lipas kudung ini adalah peribahasa melambangkan manusia yang tidak tahu duduk diam.

Mengapa boleh menjadi si lipas kudung? Pada pandangan saya, selalunya kelompok ini cekap bekerja dan menganggap kerja-kerja tersebut mudah. Sedangkan bagi kelompok lain yang mungkin lansung tiada pengalaman akan berasa sangat susah dan tertekan melakukan satu-satu kerja. Apabila kedua-dua kelompok ini bertemu dan berurusan, maka tercetuslah konflik dalaman.

Kunci keharmonian dalam gerak kerja ini adalah saling bertolak ansur dan memberi peluang. Kedua-dua pihak perlu saling berusaha untuk melakukan yang terbaik supaya kedua-duanya berasa dihargai dan tidak dipinggirkan. Si pantas perlu sedar bahawa walau sepantas mana dirinya, dia perlu memberikan peluang kepada mereka yang di sekelilingnya masa untuk menjadi mahir. Inshaallah suatu hari nanti apabila mereka sudah mahir, mereka akan menjadi pantas juga...

Pemimpin yang bijak adalah pemimpin yang menyediakan penggantinya apabila dirinya sudah tiada. Maka pemimpin perlu sedar suatu hari nanti kita mungkin akan sakit, sibuk atau pergi jauh. Jadi perkukuhkanlah pimpinan baru yang akan menggantikan tempat kita.

Wallahualam