Sunday, December 2, 2012

Nasihat 11 : Redha dengan Jodoh Yang Allah Pilihkan



Saya bertanya kepada emak “mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”
Mak jawab “dua-dua bukan..”
Saya tercengang..
Mak mengukir senyuman. “Pilihan hati mak yang sayangkan kita kerana Allah..”
Saya menarik nafas dalam-dalam. “Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?”
Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum. Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
“Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.
“Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya.
“Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..”
Saya memintas, “Tak faham..”
Mak menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..”
Mak menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..” Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. mak menyambung “Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.
“mak dulu masa besar kakak ada secret admire.. rajin betul dia hantar surat..masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. mak nak belajar sungguh-sungguh.. lama budak tu tunggu mak.. akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
“mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
“Mak anak ustaz ustazah.. tapi zaman tu ustaz ustazah nya still berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu mak panggil mak Aji.. sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai.
“Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.
“mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah tak? Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat.. besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.
“Kakak.. jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. bercouple mungkin.. tetapi bukan berkahwin.. kerana kita berkahwin dengan jodoh kita. Yang Allah dah tetapkan tsejak azali.. dan tak mustahil orang yang kita paling benci tu lah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..”
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, “Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. tetapi itu tak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. perbezaannya dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika.. tentu kering tekak emak meneraangkan kepada saya persoalan hati ini.
“Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta pada pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai Dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”
“Kakak.. hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”
“kakak.. walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. tapi kalau dapat yang kakak taknak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ”
Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.
“Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Saturday, December 1, 2012

Nasihat 10 : Ubat Hati

“Lillah…”

“Lillah….”

“Lillah……..”

Dia menangis. Saya pula tidak segera menerpa dan memujuk dia. Saya mendiamkan diri.. Saya sudah selalu melihat dia begini.

“Ya saya..” saya menjawab perlahan.

“Lillah….” Dia menangis semahu-mahunya. Saya masih diam di tempat saya, tidak berganjak. Dia merapati saya.

“Hati saya remuk.. kecewa!” Air mata mengalir ke pipinya.

“Kecewa!”

“Tiada tempat lagi!”

Saya meletakkan tangan di lehernya sambil memujuk “Sabar.. Sabar..”

Dia masih bersungguh-sungguh dalam menangis. Sakit benar nampaknya…

“Sekelip mata Allah memberi, sekarang ini Allah ambil balik.. Adakah Allah adil pada saya?!”

Sendu-sendunya menjadi-jadi. Saya tahu tiada gunanya saya menjawab atau berdebat dengan orang yang sedang tidak stabil emosinya. Barangkali dia langsung tidak memaksudkan kata-kata itu, dia berkata sedemikian kerana terlalu sedih.

“Ada mathurat?” Saya bertanya. Dia memandang saya kehairanan. Kemudian meneruskan tangisannya.

“Di bilik ada mathurat tak?” Saya bertanya padanya. Dia tidak menjawab sebaliknya masih bersungguh-sungguh menangis.

“Apa dosa saya?!” dia memintas.

“Sehingga saya sentiasa diperlakukan seperti ini?!”

“Adakah Allah tidak sayang saya?!”

“Ada mathurat tak di bilik ni?” Saya mengabaikan pertanyaan dia. Sebenarnya saya ada mesyuarat yang perlu dihadiri dalam beberapa minit lagi. Dan saya sudah lewat!

“Ada tak?” sekali lagi saya bertanya. Dia masih menangis.

“Nak suruh tengok satu doa ni… ” sambung saya lagi. Tiada respons. Yang ada cumalah air mata dan sendu-sendu.

“Ada…” dia bersuara perlahan.

“Hati saya berkecamuk.” Sambung dia lagi.

“Pergi ambil sekejap,” arah saya.

“Badan saya semakin lemah.. saya rasa seperti mahu rebah…”keluh dia.. Dia sudah penat menangis tetapi masih dalam keadaan beremosi.

“Lillah pun nak ambil mathurat sekejap,” saya berlalu meninggalkan dia dan kembali ke bilik saya dan kemudian kembali kepada dia.

Sebaik ternampak saya, dia bersuara “Tersungkur…. Kenapa Allah buat macam ini?”
“pada saya…” dia terus bermonolog.. Saya duduk di sebelah sambil mencari-cari doa yang saya mahu bagi kepada dia.

“Kenapa saya yang diuji Lillah?!” Dia kelihatan agak geram kepada saya.

“Kenapa harus saya yang menanggung semua derita ini?”

Saya hanya membiarkan dia melepaskan segala-galanya. Handphone saya berbunyi. Saya sudah terlewat untuk ke mesyuarat!

“Dah ambil mathurat?” tanya saya tanpa memandang wajah dia. Dia bangkit dan mengambil mathurat.

“dah..” Dia duduk di sebelah saya.

“Cari satu doa ni..” saya membaca doa tersebut.

“Allahumma inni auzubika minal hammi wal hazan”
“ wa a uzubika minal ajzi wal kasal”
“wa a u zubika minal jubni walbuhli”

Dia membelek-belek mathurat di tangannya..“hutang?” dia bersuara. Saya tidak mempedulikan dia dan menyambung bacaan doa yang saya memang sudah hafal ini.

“wa a uzubika min ralabatiddain waqahrir rijal”


Dia membaca doa tersebut perlahan. Tagisannya sudah berhenti.

“Ada tak tulis maksud di dalam mathurat tu?” tanya saya. Dia masih membaca..

“Doa ni Nabi ajarkan kepada sahabat.. walau sebesar mana kesedihan dan hutang, inshaAllah akan hilang bila amalkan doa ini..” sambung saya lagi. Dia diam sambil matanya tertumpu ke mathurat.

“Ada tak tulis maksud di dalam mathurat tu?” soal saya.

“Ada..ada.” jawab dia.

“Lillah… saya… saya dilukai!” dia kembali hendak mengadu. Wajahnya berkerut sambil
memandang saya.

“Apa yang tertulis di situ?” soal saya tanpa mempedulikan kata-kata dia.

“Ya Allah aku berlindung pada Mu dari rasa sedih dan glisah dan aku berlindung pada Mu dari sikap pengecut dan aku blindung pada Mu dari cengkman dan penindasan orang..”dia membaca perlahan.. Saya tersenyum. Saya sayang sahabat saya ini, tetapi saya mahu bertegas dengan dia.

“Lillah, adakah saya jahat? Allah sentiasa menghukum saya!” Dia kembali kepada keadaan asal.

Ya Allah… Sekarang kesabaran saya benar-benar teruji!

“Chik.. pergi ambil wudhuk, kalau belum solat, solat dulu.. Kemudian pergilah hafal doa ini..”arah saya sambil bangun dan bersiap-siap untuk keluar.

“Hati tidak tenang…” Dia menghempaskan badan ke tilam.

“Pergilah menghafal doa ini, inshAllah hati akan tenang..”sambung saya lagi.

“Sedih terkenangkan nasib..” Dia menyambung lagi.

“Pergilah hafal doa ini.. percayalah! Baca dan ulang-ulang malam ni!”saya menegaskan.

“Allah benci saya ke?” Dia merenung ke atas.

“Pergilah sayang..”ucap saya. Sejujurnya saya sedang cuba menahan sabar.

“Bacalah sampai hati tenang.. pergilah.. kasihan pada diri sendiri, jangan sakiti diri tu lagi.”ucap saya lagi.

“Saya tidak sanggup menangis.. Saya rasa sakit teramat sangat..”sambung dia.

YA ALLAH! BEERILAH AKU KEKUATAN UNTUK BERSABAR.

“Pergi baca doa tu banyak-banyak kali sampai hafal.”Saya sudah bersedia untuk meninggalkan bilik.

“Jiwa saya benar-benar menderita sekarang. Kenapa saya? Apakah dosa saya lillah? Penyakit saya datang balik kerana terlalu sedih.”

Saya bangun dan berdiri berhadapan dengannya.

Kalau kita sakit, kita kena makan ubat. Tapi kalau kita beli ubat, tapi bila sakit tak makan ubat tu…. Adakah kita akan sihat? Samalah macam sekarang. Bila Chik sedih, tapi Chik tak nak baca doa pengubat kesedihan yang Allah dah sediakan, adakah kesedihan itu akan hilang? ” saya membebel.

Dia terdiam.

Sangatlah mustahil….”sambung saya. Saya terus berlalu meninggalkan dia. Saya berlari menuju ke arah kereta saya. Tiba-tiba telefon berbunyi. SMS dari dia.

“Lillah.. doakan supaya Allah terima cinta saya.. Doakn agar saya berjumpa dgn cinta sejati iaitu cinta Ilahi..”

Dalam hati saya meng ‘amin’kan doanya itu..

Jangan berhenti jangan terhenti
Mencari teduh cinta sejati
Aku peduli aku simpati ranjauanmu

Aku menanti ayuh solehah
Yang indah budi sederhana
Aku doa engkau pun jua bahagia

Yang lalu biarkan berlalu
Tak mungkin tercantum lagi
Redhala ketentuan ini
Tak usah diamuk resah

Lihatlah sang mentari
Menyuluh luas bumi
Cahayanya menerangi
Begitu hidup ini
Sinarnya kan menanti…

p/s : saya snap gambar tu dari meja kwan saya.. dia macam nak pengsan melihatkan saya menguplod gambar tu.. saya sukakan tulisan dia, cute! =)

Nasihat 9 : Anak Soleh


Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya) , lalu sabda baginda :
' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan. 
Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu,
peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu.
Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata.
Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata.
Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah.
Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu.
Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan. '
(HR. Turmuzi dan dia berkata : Haditsnya hasan shahih). 


Hari Khamis = Hari Mengajar BIOLOGI form 4!!

Emak bertanya “Kakak dah siap?” Ha.. saya masih belum bersiap-siap untuk pergi mengajar. Tinggal 1 jam ½ lagi kelas akan bermula. Perjalanan nak ke sana pula mengambil masa 40 minit (kalau takde traffic jam).

“Kakak.. dari zaman sekolah mak jaga, sampai zaman dah jadi cikgu pun mak nak kena jaga…”emak mula gelisah. Mata emak memandang ke arah jam dinding. Maafkan kakak emak, tak berniat nak buat emak risau.
“Mak kena jaga kakak sampai kakak kahwin la..hehe” sempat saya menjawab sekadar nak bergurau. Bergurau yang memang betul pun kan. Emak menggelengkan kepala.

½ jam lagi.. semoga takada traffic jam. Rawang terkenal dengan traffic jam!!
So sepanjang jalan berzikir-berzikir dan berzikir.. hanya Allah yang boleh membantu.. Ya Allah, saya tahu saya yang bersalah sebab saya bersiap lambat tapi please ya Allah.. tolong lapangkan urusan hambaMu ini…

Alhamdulillah saya sampai sana awal 1 minit.. Alhamdulillah~~~



Memulakan kelas dengan Ummul Kitab.. Alfatihah..

anak-anak murid saya ini pelbagai ragamnya. Datang dari pelbagai background. ada yang berseluar pendek dan ada yang bertudung labuh. Semoga apa yang ingin saya sampaikan dapat meresap ke dalam hati-hati mereka.. semoga tempoh singkat kami bersama ini mendapat rahmat kasih sayang dari Allah.. (sementara menunggu staf tolong fotostatkan bahan-bahan untuk students, saya mengambil peluang 10 minit untuk memberi pengisian rohani)

“Ok.. pernah dengar hadis ‘Sesungguhnya Allah swt tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah swt melihat hati dan amalan-amalan kamu’ ? ”soal saya.

semua menggeleng kepala. ada yang menjawab dengan membuat bunyi bising dan membuat mimik muka yang pelik. Adiklelaki yang berseluar pendek itu duduk di hadapan sekali. segera ditariknya hujung seluar untuk menutup hujung lututnya sambil tersenyum-senyum kepada saya.

“kak, dia malu kak..”kawannya memberi komen. saya membalas dengan senyuman. Syukurlah dia masih ada rasa malu.. rasanya tidak perlulah saya explain lebih lanjut kepada dia.. adik-adik yang nakal dan suka buat bising inilah yang menceriakan kelas ini. mereka tidak henti-henti membuat saya terhibur dengan telatah mereka. alhamdulillah..

“akak ada satu true story..” saya biasa membahasakan diri kakak berbanding cikgu. sebab saya memang bukan cikgu pun.. kelas tuisyen yang saya conduct lebih berbentuk study group. Untuk adik-adik sekolah menengah, mereka akur memanggil saya kakak. Tetapi adik-adik sekolah rendah memanggil saya kejap teacher.. kejap cikgu.. kejap ustazah.. mana-mana yang mudahlah.. tak kisahlah…

“true story... kisah tentang seorang pemuda yang tak hensem…”saya merenung wajah-wajah anak-anak murid kesayangan saya.. mereka memberi senyuman. dan saya balas dengan senyuman..

“miskin.. tak ada harta apa-apa…”sambung saya lagi.. mereka semakin fokus. semua sudah duduk diam dan cuba menghayati kisah saya..

“yang ada pada dia cumalah seorang ibu yang uzur…” kali ini saya memandang dalam-dalam wajah anak-anak murid saya, baik lelaki mahupun perempuan. Tahukah anda anak-anak sangat mudah untuk disentuh apabila kita menyebut perihal ‘ibu’?



kisah nya begini…

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“ Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai “ al-Mubasyirun bil Jannah ” iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“ Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”



Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :
“ Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji. ”

Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :

“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”

Uwais menjawab :

“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi :

“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”

Uwais menjawab :

“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka
saya juga masuk syurga. “

Ibunya berkata lagi :

“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini. “

Uwais berkata :

“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. “

Ibunya menambah :
“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. ”

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :
“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.
'Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku."

Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.



Moral of the story ?

staf pusat tuisyen menghantar bahan-bahan fotostat..

"apa moral from this story?" soal saya sambil mengedarkan bahanfotostat. Pelbagai jawapan diterima.. semua jawapan boleh diterima, no right no wrong sebab itu adalah pandangan masing-masing..

"bagi akak, pengajaran yang akak dapat ialah berbuat baiklah walaupun kamu tidak dipandang oleh manusia ataupun disalah faham oleh manusia, sebab Allah akan tetap memandang kamu dan memahami kamu..."terang saya.

Sabda Rasulullah saw ,
"Sesungguhnya Allah swt tidak melihat rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah swt melihat hati dan amalan-amalan kamu".
(HR Muslim).
“ok.. sekarang mari kita mulakan chapter 2, tajuk kita hari ini ialah…”saya mengeluarkan 3 batang whiteboard marker merah, biru dan hitam lalu memulakan topik hari itu.


wahai Allah yang Paling Penyayang, jadikanlah kami anak-anak yang soleh solehah.. jadikanlah keturunan-keturunan kami soleh solehah.. peliharalah kami pada setiap detik dan saat.. berilah hidayah pada kami.. dan jadikanlah kami punca hidayah kepada orang sekeliling kami... amin ya Mujib..


Ya Allah... aku tidak mahu menyesal.. aku mahu mengingati Mu setiap detik dan saat dalam hidupku..

Nasihat 8 : Titipan Kekuatan



Kau yang menciptakan cinta
Dan Kau jua yang menghampar bahagia
Di ribaanMu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Sengaja saya singgah bilik persatuan sebelum ke school Ti… saya teringatkan seseorang yang saya telah lost contact.. bagaimanalah saya hendak mencari si dia ni.. sudah beberapa kali saya ke bilik persatuan dia tetapi dia tiada. Kali ini hati saya masih belum berputus asa, saya sengaja melajakkan kaki ke bilik persatuan.. sebaik masuk ke pintu utama, saya dapat lihat ke dalam bilik dia melalui dinding kaca lutsinar… kosong!

Ya Allah… Kau tahu betapa aku kasihi dia, Kau temukanlah kami.. aku sudah bingung merindui dia… Dalam kecewa, saya melangkahkan kaki ke bilik dia.. manalah tahu ada nombor telefon dia di bilik itu.. Sebaik sampai di pintu bilik dia, oh ada seorang gadis berpurdah sedang duduk di atas lantai sambil bermain dengan laptop.

“Assalamualaikum…”saya menegur. Dia menjawab perlahan dan menoleh.

“Kak lillah!!!” Dia segera memeluk saya. Kuasa Allah! Kuasa Allah! Saya dah hampir berputus asa, dan dengan kuasa Allah, kami bertemu..

“Punyalah akak cari kamu.. akak hilang nombor kamu..”terang saya.

“Akak! Ya Allah… rindunya kat akak…”dia memegang tangan saya kuat-kuat.

“Macam mana sekarang?” saya memegang kepala lututnya. Kami terpisah beberapa bulan sahaja tetapi nyata rindu yang berbunga sudah menjadi sebuah taman yang sangat indah.
Hampir sejam lebih kami bersembang. Terlalu banyak perkara yang telah berlaku semenjak kami tidak bertemu. Kami berbeza persatuan tetapi kami sangat serasi. Apabila melihat kepada dirinya, saya akan nampak diri saya semula. Itulah sahabat, menjadi cermin kepada yang berdampingan dengannya.

Kau yang mengutuskan duka
Dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
Namun padaMu jua diadukan
Merebahkan keresahan dan tangisan

“Kak.. saya nak usrah dengan akak… bila akak free?”dia merayu. Saya diam. Saya tidak tahu ruang mana boleh saya selitkan usrah ini.

“Kak.. saya nak ada orang yang boleh saya bercakap.. kak.. saya selalu memberi kepada orang
lain.. tetapi saya rasa kosong.. saya mahu diisi.. kak.. saya dah biasa bercakap dengan yang sebaya dan yang lebih muda.. saya nak bercakap dengan orang yang lebih dari saya.. lebih matang, lebih berilmu dan lebih baik..”dia terus menerus memujuk.

“akak tak berilmu dik.. tak juga lebih baik.. tak..”saya mempertahankan diri.

“bukan.. saya nak orang untuk saya merujuk.. saya berbincang.. kadang-kadang ada perkara yang saya tak boleh nak ceritakan kepada orang lain.. mereka tak faham.. kadang-kadang saya buntu kak.. saya naik motor pusing satu USM tapi saya tak tahu saya nak ke mana…”pujuk dia lagi..

“Hm.. sekarang akak belum mula bekerja.. akak sedang buat proposal.. malam.. erm.. akak dah reserve untuk meeting.. erm.. pinjam jadual adik.. kita tengok mana yang adik free..”saya buntu.
Dia mengeluarkan jadualnya yang umpama kertas berconteng. Dia tersipu-sipu malu kerana saya melihat jadualnya.

“Takpa..okey.. mungkin boleh di sini kot.. untuk sementara waktu lah.. nanti bulan depan, akak rasa akak tak free waktu tu, kita ubah time lain.. okey dik..”cadang saya.


Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang ku mahu

Selepas bertemu dengan adik tadi saya balik ke kereta. Hajat di hati hendak ke school Ti untuk meminta surat pengesahan pengijazahan bagi membolehkan saya memohon Master memandangkan saya masih belum konvo. Entah kenapa badan rasa menggigil, terkagum dengan kuasa Allah.. Ada beberapa perkara yang kami telah sembangkan yang mana sangat menusuk kalbu saya.. ianya berkaitan dengan persoalan hidup saya. Saya rasa seram sejuk.. Menggigil.

Ketika di pejabat school saya bersembang dengan pakcik yang menjaga kaunter.

“Dik.. ini semua kuasa Allah.. Pakcik dulu accident, hilang ingatan 6 bulan. Kemudian masa nak buat operation buang darah beku, tiba-tiba pakcik sembuh.. ini semua kuasa Allah. Doktor pun tak sempat buat apa-apa lagi.. ini semua kuasa Allah..” kata pakcik itu.

Oh ya Allah… sungguh tersentuh hati saya mendengar cerita pakcik itu. Benarlah kata pakcik itu, hidup kita ini dipenuhi dengan kuasa Allah. Sesaat kita merasakan tenggelam dalam lautan masalah, sesaat kemudian kita sedang berbahagia dalam nikmat Allah.. Kuasa Allah!

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyeru (menyebut) namaMu
Terarah segala ronta dan rasa
Pada damainya dakapanMu

Wahai sahabat.. adakalanya dalam hidup kita ini, ada banyak sekatan dan halangan yang kita rasakan ianya akan menghancurkan hidup kita.. adakalanya kita rasakan tiada jalan keluar.. adakalanya kita rasa bosan, jemu dan muak dengan masalah hidup.. adakalanya rasa macam nak muntah dengan turun naik hidup yang menyeksakan zahir dan batin.. dan saya turut merasainya.. mana mungkin saya dapat membantu mereka yang bermasalah seandainya hidup saya tiada masalah.. maka dengan gembiranya saya mengaku hidup saya ada banyak masalah yang tergantung-gantung tanpa jawapan.. dan saya masih mampu tersenyum dan buat jenaka supaya kawan-kawan saya terhibur… itulah kuasa Allah! oh, indah bukan?! =)

Apabila manusia-manusia bertanya kepada saya “bila nak tu? bila nak ni?”. Dan saya tiada jawapannya… maka jawapan saya “doakanlah saya…”.. dan mereka berdoa untuk saya.. bagus..bagus, biarlah semua manusia beramai-ramai mendoakan saya… semua itu kuasa Allah! =)

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Dan ku tahu di segenap ruang rasaku
Telah Kau titipkan kekuatan
Oh Tuhan 

Akhirnya apa yang penting dalam hidup ini cumalah bersedia untuk mati.. sebab memang akhirnya saya akan mati.. mati, yes.. MATI.. mati.. die!
Maka… ikhlas kan seluruh hidup ini untuk Allah.. berbuatlah baik kepada semua manusia.. bersihkan hati, jauhi maksiat.. fokus! Fokus dalam mencintai Allah… FOKUS!!

p/s : saya dah dapat supervisor utk Master.. sekarang nak buat proposal.. doakan supaya saya dapat buat dengan cemerlang! =)

p/s/s : saya dah dapat bilik sewa.. tuan rumah, persekitaran rumah dan teman bilik yang sangat menyenangkan hati… majority penduduk Cina.. seberang jalan dengan Sunshine complex… dekat dengan hotel Vistana… ada peluang untuk berdakwah! =D

p/s/s/s : sudah boleh mulakan usrah! Mari… !! =D

Nasihat 7 : Wahai Sahabatku Yang Dikasihi Allah



Wahai sahabatku yang dikasihi Allah
Jauh sudah kita melangkah
Bersilih ganti tawa dan air mata
Perjalanan ini masih panjang
Mari kita merintisnya dengan pakaian takwa

Wahai sahabatku yang dikasihi Allah
Maafkan aku andai tidak bisa menjadi teman yang sempurna
Maafkan aku andai tidak bisa menemani saat berduka
Maafkan aku andai tidak bisa mengerti kalam tanpa bicara
Aku cuma insan biasa yang sering lupa

Wahai sahabatku yang dikasihi Allah
Dunia ini persinggahan sementara
Tidak apa sekiranya kita tidak dipandang manusia
Tidak apa sekiranya kita tidak dihargai manusia
Tidak apa sekiranya kita tidak dicintai manusia
Katakanlah "Cukuplah Allah untukku"

Wahai sahabatku yang dikasihi Allah
Aku tidak mengharapkan kesempurnaan pada dirimu
Aku tidak mengharapkan engkau kekal di sisiku
Aku tidak mengharapkan engkau berkorban untukku
Memadailah engkau meredhai aku sebagai sahabatmu
Terlebih baik sekiranya engkau sudi mendoakan aku di dalam doa-doa selepas solatmu

Semoga Allah mempertemukan kita di dalam Syurga-Nya
Semoga engkaulah wanita solehah yang menjadi kecemburuan bidadari-bidadari Syurga.

-sahabatmu Lillah Khalilah-



Click to enlarge. Wallpaper for my desktop ;)