Showing posts with label jodoh. Show all posts
Showing posts with label jodoh. Show all posts

Sunday, December 2, 2012

Nasihat 11 : Redha dengan Jodoh Yang Allah Pilihkan



Saya bertanya kepada emak “mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”
Mak jawab “dua-dua bukan..”
Saya tercengang..
Mak mengukir senyuman. “Pilihan hati mak yang sayangkan kita kerana Allah..”
Saya menarik nafas dalam-dalam. “Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?”
Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum. Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
“Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.
“Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya.
“Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..”
Saya memintas, “Tak faham..”
Mak menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..”
Mak menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..” Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. mak menyambung “Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.
“mak dulu masa besar kakak ada secret admire.. rajin betul dia hantar surat..masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. mak nak belajar sungguh-sungguh.. lama budak tu tunggu mak.. akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..
“mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.
“Mak anak ustaz ustazah.. tapi zaman tu ustaz ustazah nya still berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu mak panggil mak Aji.. sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai.
“Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.
“mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah tak? Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat.. besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.
“Kakak.. jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. bercouple mungkin.. tetapi bukan berkahwin.. kerana kita berkahwin dengan jodoh kita. Yang Allah dah tetapkan tsejak azali.. dan tak mustahil orang yang kita paling benci tu lah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..”
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, “Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. sebabnya hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya. Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. tetapi itu tak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. perbezaannya dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika.. tentu kering tekak emak meneraangkan kepada saya persoalan hati ini.
“Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta pada pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai Dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.. ”
“Kakak.. hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya.. Hanya Allah yang boleh memegangnya.. sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”
“kakak.. walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. tapi kalau dapat yang kakak taknak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ”
Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.
“Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Saturday, December 1, 2012

Nasihat 1 : Belum Jodoh


Gerimis turun sepanjang petang. Berhenti sekejap di waktu maghrib dan kembali turun ke bumi sepanjang malam. Dua orang gadis berdiri di bawah bumbung di koridor deretan kedai-kedai. Hajat di hati mahu lekas pulang tetapi belum sampai masanya, kenderaan yang mereka akan naiki masih belum kelihatan.
"Hm... Kawan-kawan kita seorang demi seorang akan menamatkan zaman bujang," gadis bertubuh kecil itu bersuara sambil merenung lopak-lopak air.
"Ya.. Minggu depan Fariza kan," Gadis yang menemaninya menjawab. Masing-masing kemudiannya membisu sambil mendengar irama titisan-titisan hujan yang menghentak-hentak bumbung zink koridor.
"Semua orang sudah ke arah itu.... kecuali saya,"getus gadis yang memulakan perbualan tadi. Sahabatnya segera mengangkat muka memandang wajah temannya. Dia cuba membaca maksud tersirat di sebalik ayat sahabatnya. Dia sendiri bakal meninggalkan zaman bujangnya dalam masa beberapa bulan lagi. Dia mendongak ke langit yang gelap pekat untuk mencari idea. Malam ini tiada bintang, mungkin kerana awan-awan terlalu tebal.
"Perkahwinan bukanlah destinasi terakhir. Apakah destinasi terakhir kita? Syurga bukan?" perlahan dia menuturkan bicara supaya mudah difahami oleh temannya. Gadis di sebelahnya diam dan mengangguk. Ayat sabahatnya itu memang benar namun ianya memerlukan kekuatan untuk direalisasikan. Kekuatan itulah yang sedang dia tercari-cari. Dia sudah banyak kali berdoa supaya Allah menemukan jodohnya tetapi hingga kini doa itu seperti masih tergantung-gantung tanpa jawapan.
"Saya takut....Takut dengan masa depan yang tidak tahu bagaimana coraknya. Takut dengan cabaran yang tidak tahu ombaknya.. Takut dengan permainan yang tidak tahu rentaknya...Semua itu saya perlu lalui bersendirian." jujur sahabatnya meluahkan.
Teman seorang lagi berfikir... Hanya kalimah Allah yang mampu menjadi penawar hati yang sedang bersedih.     Tiada ungkapan motivasi yang mampu menandingi janji-janji Allah di dalam Quran. Quran adalah penawar segala penyakit hati. Mengingati Allah adalah sumber ketenangan abadi dan hakiki.
"Dalam Quran Allah kata orang beriman ini tidak akan berdukacita... dan tidak akan takut...."
Sebuah lori melintasi mereka berdua dan melanggar lopak air sehingga hampir memercik ke arah mereka.
"Dalam hidup ini, kita semua tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan. Kita tidak boleh lari dari takdir kita. Apa yang boleh kita buat adalah berdoa."
Mereka sama-sama membisu. Hujan sudah berhenti.
"Walaupun kita semua adalah kawan, tetapi kita akan melalui kehidupan yang berbeza.. dengan ujian yang berbeza.. Ketakutan itu tentu akan ada. Ujian yang akan mendukacitakan tetap akan singgah. Tetapi apabila kita cuba ingat kembali bahawa Allah telah pun bagi tahu ciri-ciri orang beriman tidak berdukacita dan tidak takut, maka kita berazam mahu menjadi orang beriman lalu kita melupakan dan menghilangkan perasaan sedih dan takut itu.. Kita berusaha untuk mengembirakan diri kita kerana kita sangat mahu menjadi orang beriman."

Dari jauh kelihatan kereta putih Kancil bergerak perlahan. Di dalam kereta itu ada seorang gadis lain bertubuh besar sedang memandu. Pemanduannya tersengguk-sengguk, maklumlah baru lulus lesen memandu. Suatu risiko menaiki kereta yang dipandu oleh pemandu baru lulus lesen, tetapi setiap manusia berhak mendapat peluang untuk belajar dan diberi kepercayaan. Ketika perjalanan seakan mencabar dan kesemua yang berada dalam kenderaan kerisauan, barulah masing-masing sentiasa berzikir dan fokus terhadap sekeliling. Seringkali apabila perjalanan begitu lancar dengan pemandu yang sudah profesional, maka kesemua yang berada dalam kenderaan selalunya akan mengelamun yang bukan-bukan dan apabila tiba-tiba dijemput ajal dalam keadaan yang tidak bersedia. Begitulah kehidupan ini, ujian yang datang itu bertujuan supaya kita sentiasa sedar apa destinasi kita dan supaya kita sentiasa bersedia untuk dijemput ajal.
Ingatlah kita akan pulang ke daerah sebenar, kampung halaman. Andai kita tidak mampu membina banglo di bumi, usah bersedih kerana kita masih ada peluang membina mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya sungai madu, sungai arak dan sungai susu.

1  
Surah AlBaqarah. Ayat 062.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani) dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

2  
Surah AlBaqarah. Ayat 277.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

3  
Surah AlMaa’idah. Ayat 069.
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Saabiein dan orang-orang Nasrani sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

4  
Surah AlBaqarah. Ayat 112.
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.

5  
Surah AlAn'aam. Ayat 048.
Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-Rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak akan berdukacita.

6  
Surah AlBaqarah. Ayat 274.
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

7  
Surah AJin. Ayat 013.
Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik) dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

8  
Surah AlMu’minun. Ayat 057.
Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka;

9  
Surah AlA’raaf. Ayat 049.
(Mereka bertanya pula kepada ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu dan kamu pula tidak akan berdukacita.

10  
Surah AlA’raaf. Ayat 035.
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-Rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah) Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.